Polisi Privasi
Neon Beach Night Run 2026 · Kemas kini terakhir: 11 September 2026
Polisi Privasi ini menerangkan bagaimana penganjur NEON BEACH NIGHT RUN 2026 ("Acara") — Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok dengan kerjasama Kelab Larian Kijang Timur ("kami", "penganjur") — mengumpul, menggunakan, menyimpan dan melindungi maklumat peribadi anda apabila anda mendaftar untuk Acara. Acara dipromosikan di bawah program Hari Sukan Negara Bachok dan poster rasmi memaparkan logo Kementerian Belia & Sukan. Entiti yang bertindak sebagai pengguna data di bawah PDPA ialah penganjur yang dinamakan di atas. Pendaftaran & pembayaran dikendalikan melalui platform teknologi LariHub (larihub.my) sebagai pemproses data bagi pihak penganjur. Polisi ini disusun selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) Malaysia.
1. Maklumat yang Kami Kumpul
Semasa proses pendaftaran, kami mengumpul maklumat berikut:
- Maklumat pembeli: Nama, alamat e-mel, nombor telefon (WhatsApp)
- Maklumat peserta: Nama, jantina dan saiz jersi — Acara ini hanya mempunyai satu jenis penyertaan, jadi tiada kategori atau jarak dikumpul
- Nombor pengenalan: wajib — No. Kad Pengenalan (12 digit) atau no. pasport bagi peserta bukan warganegara. Ia digunakan untuk mengesahkan identiti semasa pengambilan kit dan untuk menjana sijil penyertaan.
- Maklumat pembayaran: Diproses oleh Billplz — kami tidak menyimpan butiran perbankan atau kad anda
- Maklumat teknikal: Alamat IP dan masa pendaftaran (untuk keselamatan & pencegahan penyalahgunaan)
2. Tujuan Pengumpulan
Maklumat peribadi anda digunakan untuk tujuan berikut sahaja:
- Memproses dan mengesahkan pendaftaran anda untuk Acara
- Memproses pembayaran secara selamat melalui Billplz (FPX)
- Menghantar e-mel pengesahan pendaftaran dan maklumat berkaitan Acara
- Menempah dan mengagihkan jersi mengikut saiz yang anda pilih, serta kit Acara (cincin laser, kaca mata neon)
- Mengesahkan penyertaan anda pada hari Acara (check-in)
- Menjana dan menghantar sijil penyertaan digital atas nama peserta
- Menguruskan penyertaan anda dalam cabutan bertuah pada hari Acara
- Perlindungan insurans peserta (jika berkenaan) dan memenuhi kewajipan undang-undang
- Memberitahu anda tentang acara larian akan datang oleh penganjur dan LariHub — anda boleh berhenti pada bila-bila masa
3. Perkongsian dengan Pihak Ketiga
Maklumat anda dikongsi hanya dengan penyedia perkhidmatan yang diperlukan untuk menjalankan Acara:
- Billplz Sdn Bhd — memproses pembayaran FPX secara selamat
- Supabase — penyimpanan pangkalan data pendaftaran
- Cloudflare — infrastruktur & keselamatan laman web
- Resend — penghantaran e-mel pengesahan
- Pihak berkuasa tempatan / syarikat insurans — hanya jika diperlukan oleh undang-undang atau untuk perlindungan peserta
Kami TIDAK menjual atau menyewakan maklumat peribadi anda kepada mana-mana pihak untuk tujuan pemasaran.
Acara akan datang. Dengan menghantar borang pendaftaran, anda juga bersetuju supaya e-mel anda digunakan untuk memberitahu anda tentang acara larian lain oleh penganjur dan LariHub. Ayat ini dinyatakan pada borang, di bawah butang bayaran, sebelum anda menghantarnya.
Anda boleh berhenti pada bila-bila masa melalui pautan unsubscribe di kaki setiap e-mel tersebut. Berhenti daripada e-mel acara akan datang tidak menjejaskan e-mel pengesahan pendaftaran, peringatan bayaran atau makluman kit — e-mel itu dihantar kerana anda mendaftar untuk acara ini, dan bukan kerana kebenaran ini.
4. Penyimpanan & Keselamatan Data
- Data disimpan dalam pangkalan data yang selamat dan dilindungi dengan penyulitan (encryption) semasa penghantaran dan penyimpanan.
- Akses dihadkan kepada penganjur dan kakitangan yang diberi kebenaran sahaja, yang terikat dengan obligasi kerahsiaan.
- Tempoh penyimpanan: sehingga 2 tahun selepas tarikh Acara untuk tujuan rekod, insurans dan rujukan acara akan datang. Selepas itu, data akan dipadam atau dianonimkan.
- Walaupun kami mengambil langkah munasabah, tiada sistem 100% selamat; kami tidak dapat menjamin keselamatan mutlak.
5. Hak Anda di Bawah PDPA
Sebagai subjek data, anda berhak untuk:
- Akses — meminta salinan data peribadi yang kami simpan
- Pembetulan — membetulkan maklumat yang tidak tepat
- Penghapusan — meminta data anda dipadam (tertakluk kepada obligasi undang-undang)
- Menarik balik persetujuan — pada bila-bila masa, tetapi ini mungkin menjejaskan penyertaan anda
- Menghadkan pemprosesan — meminta kami menghadkan penggunaan data anda
Untuk menguatkuasakan hak ini, sila hubungi kami (Seksyen 8). Permintaan diproses dalam 21 hari bekerja.
6. Kuki (Cookies) & Penjejakan Emel
Laman ini tidak menggunakan kuki pengesanan pihak ketiga atau piksel pemasaran (seperti Meta atau TikTok). Hanya data teknikal asas yang diperlukan untuk keselamatan dan pengendalian laman digunakan.
Emel rasmi kami (pengesahan pendaftaran, peringatan bayaran, makluman pengambilan kit) mengandungi satu imej penjejak halus daripada penyedia emel kami (Resend). Ia merekodkan bahawa emel tersebut telah dibuka — semata-mata supaya penganjur tahu makluman penting benar-benar sampai kepada peserta. Kami tidak merekodkan alamat IP atau peranti anda daripada emel, dan data ini tidak dikongsi dengan mana-mana pengiklan. Anda boleh mematikannya dengan menyekat pemuatan imej dalam aplikasi emel anda; kandungan emel tetap boleh dibaca sepenuhnya.
7. Peserta Kanak-Kanak
Acara ini berlangsung pada waktu malam di kawasan pantai awam. Peserta bawah umur hendaklah didaftarkan dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga dan diawasi sepanjang Acara. Ibu bapa/penjaga bertanggungjawab ke atas maklumat dan penyertaan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
8. Hubungi Kami
Sebarang pertanyaan, aduan atau permohonan berkaitan data peribadi anda, sila hubungi penganjur:
- Nombor admin rasmi (seperti tertera pada poster): 019-868 9072
- Entiti penganjur (pengguna data di bawah PDPA): Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok dengan kerjasama Kelab Larian Kijang Timur
9. Perubahan Polisi
Kami berhak meminda Polisi Privasi ini dari semasa ke semasa. Versi terkini sentiasa dipaparkan di halaman ini dengan tarikh "Kemas kini terakhir" dikemas kini.